Peringatan Maulid Nabi pertama kali dilakukan oleh raja Irbil
(wilayah Iraq sekarang), bernama Muzhaffaruddin al-Kaukabri, pada awal
abad ke 7 hijriyah. Ibn Katsir dalam kitab Tarikh berkata: “Sultan
Muzhaffar mengadakan peringatan maulid Nabi pada bulan Rabi’ul Awwal.
Beliau merayakannya secara besar-besaran. Beliau adalah seorang yang
berani, pahlawan,` alim dan seorang yang adil -semoga Allah
merahmatinya-”. Dijelaskan oleh Sibth (cucu) Ibn al-Jauzi bahawa dalam
peringatan tersebut Sultan al-Muzhaffar mengundang seluruh rakyatnya dan
seluruh para ulama’ dari berbagai disiplin ilmu, baik ulama’ dalam
bidang ilmu fiqh, ulama’ hadits, ulama’ dalam bidang ilmu kalam, ulama’
usul, para ahli tasawwuf dan lainnya. Sejak tiga hari, sebelum hari
pelaksanaan mawlid Nabi beliau telah melakukan berbagai persiapan.
Ribuan kambing dan unta disembelih untuk hidangan para hadirin yang akan
hadir dalam perayaan Maulid Nabi tersebut. Segenap para ulama’ saat itu
membenarkan dan menyetujui apa yang dilakukan oleh Sultan al-Muzhaffar
tersebut. Mereka semua berpandang dan menganggap baik perayaan maulid
Nabi yang dibuat untuk pertama kalinya itu. Ibn Khallikan dalam kitab
Wafayat al-A`yan menceritakan bahawa al-Imam al-Hafizh Ibn Dihyah datang
dari Moroco menuju Syam dan seterusnya ke menuju Iraq, ketika melintasi
daerah Irbil pada tahun 604 Hijrah, beliau mendapati Sultan
al-Muzhaffar, raja Irbil tersebut sangat besar perhatiannya terhadap
perayaan Maulid Nabi. Oleh kerana itu, al-Hafzih Ibn Dihyah kemudian
menulis sebuah buku tentang Maulid Nabi yang diberi judul “al-Tanwir Fi
Maulid al-Basyir an-Nadzir”. Karya ini kemudian beliau hadiahkan kepada
Sultan al-Muzhaffar. Para ulama’, semenjak zaman Sultan al-Muzhaffar dan
zaman selepasnya hingga sampai sekarang ini menganggap bahawa perayaan
maulid Nabi adalah sesuatu yang baik. Para ulama terkemuka dan Huffazh
al-Hadits telah menyatakan demikian. Di antara mereka seperti al-Hafizh
Ibn Dihyah (abad 7 H), al-Hafizh al-’Iraqi (W. 806 H), Al-Hafizh Ibn
Hajar al-`Asqalani (W. 852 H), al-Hafizh as-Suyuthi (W. 911 H),
al-Hafizh aL-Sakhawi (W. 902 H), SyeIkh Ibn Hajar al-Haitami (W. 974 H),
al-Imam al-Nawawi (W. 676 H), al-Imam al-`Izz ibn `Abd al-Salam (W. 660
H), mantan mufti Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi’i (W. 1354
H), Mantan Mufti Beirut Lubnan iaitu Syeikh Mushthafa Naja (W. 1351 H)
dan terdapat banyak lagi para ulama’ besar yang lainnya. Bahkan al-Imam
al-Suyuthi menulis karya khusus tentang maulid yang berjudul “Husn
al-Maqsid Fi ‘Amal al-Maulid”. Karena itu perayaan maulid Nabi, yang
biasa dirayakan di bulan Rabi’ul Awwal menjadi tradisi ummat Islam di
seluruh dunia, dari masa ke masa dan dalam setiap generasi ke generasi.
Para ahli sejarah, seperti Ibn Khallikan, Sibth Ibn al-Jauzi, Ibn
Kathir, al-Hafizh al-Sakhawi, al-Hafizh al-Suyuthi dan lainnya telah
bersepakat menyatakan bahawa orang yang pertama kali mengadakan
peringatan maulid adalah Sultan al-Muzhaffar, bukan sultan Shalahuddin
al-Ayyubi. Orang yang mengatakan bahawa sultan Salahuddin al-Ayyubi yang
pertama kali mengadakan Maulid Nabi telah membuat “fitnah yang jahat”
terhadap sejarah. Perkataan mereka bahawa sultan Salahuddin membuat
maulid untuk tujuan membangkitkan semangat umat untuk berjihad dalam
perang salib, maka jika diadakan bukan untuk tujuan seperti ini bererti
telah menyimpang, adalah perkataan yang sesat lagi menyesatkan.
0 komentar:
Posting Komentar